Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memberikan kata-kata semangat kepada skuad B-23 negara selepas aksi persahabatan menentang KL City FC, petang ini. Skuad bimbingan Brad Maloney itu dijadual beraksi pada Kejuaraan Piala AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja dari 14-26 Feb. -fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ditimpa malang selepas tiga pemain negara disahkan positif COVID-19 menjelang pertemuan menentang Laos pada aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Isnin ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T. Saravanan masing-masing diuji positif pada ujian saringan RTK-Ag di hotel penginapan di Phnom Penh, Kemboja, pagi tadi.

Ketua Jurulatih skuad B-23 kebangsaan Brad Maloney juga bakal kehilangan khidmat penolong jurulatih pada pertembungan dengan Laos selepas Khan Hung Meng turut disahkan positif COVID-19 pada ujian sama.

“Ketiga-tiga pemain serta penolong jurulatih berkenaan telah diasingkan serta-merta daripada aktiviti bersama pasukan dan akan menjalani ujian PCR, esok pagi,” menurut kenyataan itu.

Pada perlawanan di Stadium Prince, Phnom Penh, Isnin ini, Malaysia sekali lagi bakal berdepan cabaran Laos selepas skuad bimbingan Maloney itu dikejutkan dengan kekalahan 1-2 ketika pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi pembukaan kumpulan di venue sama, semalam.

Pasukan negara wajib meraih kemenangan pada aksi kedua itu nanti dengan kelebihan dua gol jika ingin mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir selepas saingan Kumpulan B hanya membabitkan Malaysia dan Laos susulan penarikan diri Myanmar dan Indonesia.

Hanya juara tiga kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Feb.- BERNAMA