Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 menunjukkan penurunan dengan 26,832 kes baharu dicatatkan setakat semalam berbanding 28,825 kes, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 kini sebanyak 3,221,680 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan setakat semalam, 26,699 kes (99.50 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Sebanyak 133 kes atau 0.50 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, berdasarkan pecahan, kategori satu mencatatkan sebanyak 8,469 kes, kategori dua (18,230 kes), kategori tiga (66 kes), kategori empat (38 kes) dan kategori lima 29 kes.

Jelas beliau, daripada 133 kes kategori tiga, empat dan lima yang baharu, sebanyak 29 kes adalah tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi manakala 75 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Katanya lagi, 29 kes pula membabitkan individu yang telah menerima dos penggalak, 62 kes individu berusia 60 tahun ke atas, 47 kes mempunyai comorbid, enam kes ibu mengandung dan 11 kes telah meninggal dunia termasuk enam kes brought in dead (BID).

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 261 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala 139 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, sebanyak 500 kluster masih aktif dengan jumlah kluster baharu sebanyak 15 kluster. – MalaysiaGazette