Friday, April 26, 2024
Home Nasional Putra sokong desakan tubuh jawatankuasa khas kaji pindaan perlembagaan beri kuasa kepada...

Putra sokong desakan tubuh jawatankuasa khas kaji pindaan perlembagaan beri kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri

Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyokong gesaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) agar kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presidennya, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir menegaskan, gesaan itu disuarakan selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Beliau berkata, sampai bila Perlembagaan Persekutuan itu sering dilihat sebagai penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam akibat wujudnya peruntukan perlembagaan yang menyatakan perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi, mengatasi undang-undang lain?

“Putra mengingatkan kepada pihak tertentu di negara ini supaya tidak mencampuri urusan hal ehwal umat Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Tindakan ancaman yang melampau itu bakal mengundang rasa gelisah di kalangan umat Islam serta mengganggu keharmonian dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, malam ini.

Di Putrajaya hari ini, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Ini kerana, panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah Negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah kemudian mengisytiharkan Panel Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Serentak itu, PGSM menggesa kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri menjalankan semakan kehakiman berhubung keputusan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri.

Presidennya, Musa Awang dilaporkan berkata, pindaan itu perlu untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah negeri menjalankan semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan oleh jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri.

Tegas Dr. Aziz Jamaludin, Islam adalah kerangka utama pembentukan Malaysia dan sebab itu dalam perlembagaan dinyatakan dengan jelas.

Kata beliau, agama lain tetap dibenarkan, tetapi ia tidak dinyatakan dengan jelas apakah agama berkenaan.

“Dominasi Islam tidak menyekat kehidupan masyarakat bukan Islam, sebaliknya Islam telah memberikan persekitaran yang lebih kepada bukan Islam, kecuali ada usaha untuk mencabar atau meruntuhkan institusi Islam.

“Lebih dikesalkan lagi pakar undang-undang dari kaum muslimin, juga ulamak di Malaysia sangat dangkal urusan politik dan perlembagaan. Lebih buruk lagi mainan hubungan antarabangsa.

“Ilmu muslihat (strategi dan taktikal), kebijaksanaan mengertikan dan menafsir suatu peristiwa dan isu sangat lemah di kalangan mereka. Ini semua kerana penyakit wahan (hilangnya roh keberanian, kemarahan dari jihad menghadapi musuh),” katanya.

Katanya, tanpa curiga dan benci kepada musuh Allah, seorang muslim akan kehilangan semua itu dan paling terhina apabila ‘sibghah’ sebagai seorang muslim hilang. – MalaysiaGazette