Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Kehadiran orang ramai dalam acara-acara anjuran Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dijadikan kayu pengukur sama ada rakyat Johor memberi sokongan padu kepada gabungan itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018 majlis-majlis yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) juga ramai.

Namun BN kalah pada pilihan raya tersebut.

“Pada BN yang penting adalah hasil dapatan kajian sikap pengundi-pengundi yang dibuat di lapangan. Kita bukan semata-mata mahu cantik di atas kertas sahaja, hendak lapor yang baik sahaja kerana ia merupakan punca kegagalan.

“Inilah yang saya lihat daripada beberapa siri pilihan raya yang lepas,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Johor PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini yang menzahirkan keyakinan gabungan itu untuk menang besar dalam PRN Johor, mengulangi kejayaan yang dikecapi mereka dalam PRN Sabah dua tahun lalu.

Keyakinan Hamzah itu bersandarkan “sambutan luar biasa” terhadap Program Kotak Prihatin kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Bandar Baru Uda.

Kata Hamzah, UMNO patut takut dengan sambutan yang diterima PN.

Mengulas lanjut, Hasni menambah, dalam keputusan sesuatu pilihan raya ada kerusi kerusi yang menang dengan majoriti 20 peratus dan ada juga kerusi yang menang tipis.

Keputusan-keputusan ini bukti bahawa rakyat menilai parti mana yang hendak disokong.

“Sebab itu saya katakan, kehadiran orang ramai dalam acara tertentu tidak boleh dijadikan kayu pengukur. Mereka yang hadir itu tidak semestinya kerana menyokong parti atau gabungan,” tambahnya. – MalaysiaGazette