Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki berputih mata selepas ditipu Macau Scam yang menyamar kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam dua kejadian berasingan pada 15 dan 17 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, laporan pertama daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan sementara laporan kedua diterima daripada seorang pereka bentuk berusia 36 tahun.

Kedua-dua mangsa menerima panggilan daripada seorang kakitangan LHDN yang mendakwa mangsa mempunyai masalah cukai tertunggak dan belum dijelaskan sebelum menyambungkan talian kepada ‘polis’.

“Dalam perbualan itu, mangsa telah dimaklumkan bahawa nama mereka terlibat dalam kegiatan jenayah dadah dan kemudiannya diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat bank.

“Selang beberapa minit, mangsa menerima notifikasi pesanan ringkas dan mendapati berlaku pengurangan wang berjumlah RM5,600 dan RM13,700.50 daripada akaun milik mereka sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana membuat capaian tanpa kuasa yang sah terhadap akaun mangsa.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang awam supaya tidak memuat turun aplikasi yang tidak berkenaan atau menyerahkan sebarang butiran perbankan kepada pihak ketiga.

Jelasnya lagi, sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat jenayah atau pun aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette