M. Saravanan

JOHOR BAHRU – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membentangkan kertas kerja memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pengambilan dan penempatan pembantu rumah warga Indonesia dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya memandang serius isu kebajikan Pembantu Rumah Asing (PRA) dan akan berbincang berkaitan isu gaji minimum, skop pekerjaan serta penggunaan sistem yang sah.

“Ketiga-tiga isu ini kita sudah ketengahkan dan dipersetujui untuk dibawa ke Kabinet dan kalau Kabinet bersetuju, kita akan panjangkan kepada pihak di Jakarta untuk menandatangani MoU tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun hari ini.

Selain itu, menurut Saravanan, KSM dan Kementerian Dalam Negeri akan terus bekerjasama rapat menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Jabatan Imigresen untuk menangani isu yang sama.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono sebelum ini berkata Indonesia memerlukan jaminan politik daripada Malaysia bahawa MoU berhubung perkara itu perlu dibincangkan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Sehingga 31 Januari lalu, jumlah keseluruhan pekerja warga asing adalah sebanyal 1,157,481 orang di mana jumlah PRA adalah 86,084.

Majoriti PRA adalah dari Indonesia (59,605) diikuti Filipina (22,803), Vietnam (1,301) dan Kemboja (976). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast