Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2020. senior judge sexual harassment naked
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pengawal keselamatan yang menumbuk muka seorang pengutip sewa dalam kejadian di Pandan Indah, Ampang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 26 tahun menerima panggilan daripada kerani memaklumkan terdapat seorang lelaki tempatan datang ke pejabat dalam keadaan marah.

Menurut beliau, mangsa cuba berbincang secara baik dengan suspek namun lelaki terbabit bertindak memarahi dan menumbuk muka mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pipi kiri dan luka di bawah mata serta bengkak jari akibat kejadian itu dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

“Susulan itu, sepasukan anggota berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di Pandan Indah pada Selasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, punca kejadian dipercayai kerana mangsa telah menukar kunci mangga bilik sewa suspek yang tidak membayar sewa bulanan sebanyak RM600.

Katanya, saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari dan akan dituduh esok di Mahkamah Ampang mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette