Tangkap layar menunjukkan dua lelaki melakukan jenayah samun di sebuah kedai runcit di Ipoh, Perak.

IPOH – Polis Perak sedang memburu dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Menglembu, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil siasatan mendapati, dua suspek dipercayai warga tempatan memasuki premis berkenaan pada jam 6 petang dengan bersenjatakan parang.

“Kedua-dua suspek memaksa pekerja-pekerja kedai menyerahkan barangan peribadi selain menyelongkar kaunter juruwang sebelum beredar.

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM1,600,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Mior Faridalathrash, pihaknya kini sedang giat memburu kedua-dua suspek terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata.

“Sehubungan itu, ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019 250 0019,” ujar beliau.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 16 saat di media sosial yang memaparkan dua lelaki memakai topi keledar dan pelitup muka masuk ke dalam kedai runcit sambil mengacukan parang. – MalaysiaGazette