PKS
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemberian subsidi khas elektrik kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat surcaj 3.7sen setiap kilowatt sejam (kWj) oleh kerajaan kepada sektor komersial dan industri dikaji dan diperhalusi semula.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pemberian subsidi dan insentif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan perlu mendorong kepada peningkatan tahap produktiviti dan daya saing firma seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Produktiviti Malaysia.

Katanya, cadangan untuk memperhalusi pemberian subsidi adalah bagi memastikan PKS lebih berinovatif dan berdaya saing seterusnya membantu ke arah pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti.

Menurut laporan IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) 2021, prestasi Malaysia bagi indikator subsidi kerajaan menunjukkan peningkatan kedudukan di tempat ke-27 pada tahun 2021 berbanding kedudukan ke-46 pada tahun sebelumnya.

”Ini bermaksud inisiatif kerajaan yang berkaitan dengan subsidi telah menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

”Kerajaan prihatin tidak hanya memberikan syarikat PKS untuk terus bergantung kepada subsidi kerana terdapat pelbagai insentif selain subsidi yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu mereka terus kekal dalam perniagaan dan berupaya menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih berdaya saing,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa PKS supaya lebih inovatif, mencipta idea-idea baru dalam produk dan perkhidmatan dengan mengadaptasi teknologi digitalisasi bagi menjimatkan kos pengeluaran.

MPC juga sedia membantu PKS yang memerlukan khidmat nasihat dan pembangunan kapasiti dan program MyReskill IoT serta Productivity 1010 bagi menilai tahap kesediaan digital organisasi. – MalaysiaGazette