Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

JOHOR BAHRU – Parti Warisan tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana parti gabungan pembangkang itu telah ditolak oleh rakyat.

Menurut Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal penolakan rakyat terhadap PH amat jelas dalam dua pilihan raya negeri sebelum ini iaitu di Sarawak dan Melaka.

“Kita nak lahirkan sebagai pembangkang yang bersatu di Melaka. Apa yang berlaku di Melaka? Kita tidak bertanding, kita beri sokongan kepada Pakatan Harapan. Di sarawak begitu juga kita beri sokongan kepada Pakatan Harapan. Jelas rakyat menolak.

“Bukan lagi menjadi pilihan. Kenapa? Sebab kita telah membuat banyak janji yang kita tidak boleh penuhi. Apa yang berlaku? Banyak pertengkaran, perebutan.

“Kenapa? Sebab mereka didorong oleh kepentingan peribadi dan kuasa sehingga tidak berupaya menunaikan janji-janji dan rakyat menentukan,” kata Shafie.

Beliau berkata demikian dalam majlis Pengumuman Calon Warisan PRN Johor.

Sementara itu, Shafie menyifatkan penyertaan Warisan dalam PRN Johor sebagai detik bersejarah kepada parti itu.

Ini kerana buat pertama kali parti yang lahir di Sabah berupaya bertapak di Semenanjung Malaysia.

Katanya, walaupun Warisan hanya parti kecil yang diibaratkan sebagai nyamuk oleh pihak lawan namun parti menyumbang kepada kejatuhan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Parti Warisan dilahirkan di Sabah dianggap sebagai nyamuk yang kecil. Nyamuk yang kecil tapi mereka lupa nyamuk ini yang kecil boleh mengigit orang jadi malaria ada yang mati.

“Di Semenanjung kita berupaya mengubah landskap politik. Kita menyumbang kepada kejatuhan Barisan Nasional pada PRU-14 yang berhadapan dengan dua masalah besar 1MDB dan GST,” katanya.

Shafie amat berharap Warisan akan mendapat sambutan di Semenanjung dengan permulaannya pada PRN Johor.

Menurutnya menerusi calon yang bertading akan mengeratkan sayang antara Semenanjung dengan pengundi di Sabah dan Sarawak.

Warisan meletakkan enam calon pada PRN Johor. Mereka bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.-MalaysiaGazette