Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Jeneral Prayut Chan-ocha.

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang menjalankan kajian untuk melaksanakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) di antara Kuala Lumpur – Bangkok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju akan mengadakan kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.

“Kami berbincang mengenai keperluan masa akan datang untuk membina keretapi laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok,” kata beliau pada sidang media sempena lawatannya ke Thailand selama dua hari bermula semalam.

Semalam, Ismail Sabri melakukan kunjung hormat ke atas rakan sejawatnya, Jeneral Prayut Chan-ocha di Rumah Kerajaan.

Ismail Sabri berkata, berikutan itu, kementerian dan jabatan berkaitan diminta mengambil tindakan segera perkara tersebut.

Dalam pertemuannya dengan Prayut, Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara telah berbincang mengenai keperluan untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan.

Tambah beliau, kedua-dua pihak bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan bagi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) bagi Malaysia atau Test & Go untuk Thailand.

“Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi,” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, malaysia juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi lain pada masa akan datang dengan skim VTL diperluaskan menerusi pembukaan sembilan sempadan darat.

Katanya, ia membabitkan pembukaan pintu masuk Bukit Kayu Hitam-Sadao dan semua  Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di utara semenanjung dan Selatan Thailand selain VTL Laut antara Langkawi-Satun.

Jelas, pembukaan semula sempadan itu dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan antara Malaysia dan Thailand terutama dalam sektor pelancongan. -MalaysiaGazette