Ong Chee Siang (tengah) bersama belia Tangkak.

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Ong Chee Siang bercadang mewujudkan Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Tangkak bagi menangani isu pengajian tinggi di kalangan belia, bersama-sama dengan pelbagai agensi dan pertubuhan pendidikan.

Beliau berkata demikian selepas satu sesi ramah mesra bersama lebih 20 belia di Dewan Ar-Raudhah, Tangkak, hari ini, apabila penduduk membangkitkan masalah yang dihadapi dalam melanjutkan pelajaran, termasuk kos, bidang pengkhususan, peluang pengajian di luar negara serta masalah pengangguran.

Sebagai respons, Chee Siang berjanji untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa perundingan yang akan menggabungkan tenaga pelbagai entiti pendidikan bagi memajukan pendidikan serta memberikan khidmat perundingan dan bantuan kepada belia di Tangkak.

Katanya, jawatankuasa itu akan menumpukan kepada usaha membantu muda-mudi yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran, termasuk mendapatkan biasiswa, dermasiswa dan pinjaman melalui pelbagai saluran bagi meringankan beban mereka dan keluarga.

Mengenai pemilihan bidang pengkhusususan pula, beliau memberitahu, pengalaman berkhidmat selama lebih dua tahun di Kementerian Pendidikan membolehkan beliau memberikan khidmat perundingan yang bersesuaian.

“Mereka mengadu tidak mendapat bantuan berhubung isu berkenaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak dari Pakatan Harapan (PH). Lebih malang, pandemik yang melanda telah mendatangkan pelbagai tekanan sehingga ada yang terpaksa berhenti atau melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran.”

Chee Siang menegaskan, iklim politik yang tidak menentu sejak PH mentadbir Johor selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, ditambah dengan keganasan pandemik serta pelbagai kesilapan dasar PH, secara langsung telah mempengaruhi sentimen pelabur sehingga ada yang beralih ke tempat lain, menyebabkan berlakunya masalah pengangguran.

Beliau menyeru kepada pemuda-pemudi Johor, terutamanya mereka yang bakal mengundi buat kali pertama, supaya keluar mengundi bagi memilih calon yang betul-betul memahami masalah mereka.

“Saya berjanji akan menjalankan tugas saya membetulkan pelbagai kepincangan dasar PH berhubung belia.”

Sekiranya BN diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Chee Siang berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan penduduk serta masa depan Tangkak. – MalaysiaGazette