MACC Azam Baki investigate
Chief Commissioner of the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC), Tan Sri Azam Baki. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 01 MARCH 2022.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membanteras sindiket mencuri bekalan elektrik menerusi perlombongan bitcoin yang dikatakan beroperasi sejak lebih dua tahun lalu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihaknya menahan seramai 18 orang dipercayai terbabit dalam kegiatan sindiket itu.

“Operasi yang dinamakan ‘Ops Power’ ini dijalankan SPRM dengan kerjasama TNB sejak 2019 hingga Februari lalu.

“Jumlah kerugian dianggarkan akibat sindiket perlombongan bitcoin yang melibatkan mencuri bekalan elektrik ini RM2.3 bilion.

“Sindiket ini telah menyebabkan kerajaan mengalami kerugian yang amat besar,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Azam, SPRM dan TNB menjalin kerjasama erat antara dua agensi itu dalam membanteras sindiket mencuri bekalan elektrik menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) yang diadakan dua pihak.

Kata beliau, pihaknya mengambil tanggungjawab menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada TNB.

“TNB tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjalankan penguatkuasaan membanteras kerana ia terletak dalam bidang kuasa SPRM.

“Dengan itu, berdasarkan maklumat diberikan TNB, kita menjalankan siasatan dan menahan kumpulan sindiket ini mengikut akta dan seksyen yang diperuntukan.

“TNB sebelum ini telah menjalankan tugasnya memotong bekalan elektrik di premis yang didapati melakukan kesalahan itu, tetapi selepas sehari ia akan beroperasi semula,” katanya.

Kata Azam, bukan usaha yang mudah bagi TNB untuk membanterasnya secara menyeluruh, melainkan sekadar memotong bekalan elektrik dari premis berkenaan.

Malangnya, keesokkan hari premis terbabit akan beroperasi kembali tanpa rasa takut.

“Dalam kes ini, penglibatan SPRM ialah menjalankan siasatan mengikut Akta SPRM atau kesalahan rasuah iaitu membayar kepada pihak tertentu supaya mereka boleh mencuri elektrik.

“Kesalahan ini tertakluk bawah kanun keseksaan yang antara lain kami dapati terletak bawah Seksyen 403 KK iaitu menggunakan harta kerajaan secara curang.

“Mereka juga melakukan kesalahan bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) iaitu kecurian elektrik dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana hasil yang diperolehi itu adalah keuntungan daripada kecurian,” katanya. – MalaysiaGazette