JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) pada 3 hingga 5 Mac di Pontian.

Karnival yang berlangsung di Stadium Mini Pontian itu akan melibatkan enam agensi iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), FELCRA Berhad dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Turut terlibat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijadual merasmikan program tersebut pada 3 Mac ini.

Pada majlis itu Mahdzir juga menyempurnakan penyampaian Muqassah kepada peminjam Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dari daerah Pontian, Johor.

Program selama tiga hari itu akan menjadi platform untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh kementerian tersebut dan agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

KUD juga akan menjadi medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

Mini karnival tersebut diharap dapat meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.

“Kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan Kementerian, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan.

“Program ini juga menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian dari Kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar.

“Selain daripada itu, program ini akan turut melibatkan pameran pendidikan daripada institusi-institusi pendidikan khususnya di bawah Mara,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara aktiviti termasuk menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro buat julung-julung kalinya selepas penganjuran Pertandingan Program RBC kali terakhir pada tahun 2017.

RBC Bistro akan mengumpulkan enam usahawan RBC yang berjaya memenangi geran perniagaan antara RM300,000 sehingga RM1.5 juta pada tahun 2012, 2013, 2014 dan 2015.

Aktiviti menarik juga diadakan iaitu ceramah agama oleh Da’i Azam Al-Kankari, acara kayuhan berbasikal dan pertandingan Liga Sepakan Penalti.

Turut diadakan senamrobik, tarian Kebudayaan Orang Asli Seletar; persembahan Briged Seni RISDA dan pertandingan mewarna kanak-kanak terbuka.

Persembahan artis jemputan daripada Wany Hasrita, Ramlah Ram dan Ronnie Hussein serta Bell Ngasri selaku pengacara majlis; pocket Talk Keusahawanan; Mobile Learning INFRA; dan cabutan bertuah.

Mini KUD dijadualkan bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan dijangka akan menerima kira-kira 1,000 pengunjung setiap hari. – MalaysiaGazette