Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi Timbalan Pengerusi PN, Senator Dominic Lau (kiri) melancarkan buku Perikatan Nasional "Demi Bangsa Johor" di Hotel Trove, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Berteraskan lapan tunjang utama, Perikatan Nasional (PN) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tema Ikrar Perikatan Nasional.

Manifesto yang dilancarkan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu  berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 144 pendekatan.

“Ikrar yang ditawarkan ini bukan retorik semata-mata. Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang  bersih, cekap dan prihatin rakyat,” katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.

Tujuh tunjang tersebut meliputi Kepimpinan Berintegriti dan Bebas Rasuah, Keutuhan Ekonomi, Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup, Keprihatinan Kepada Rakyat, Kesejahteraan Sosial, Kecekapan Infrastruktur, Kerancakan Sektor Pelancongan dan Keletarian Alam Sekitar.

Muhyiddin berkata, tawaran tersebut bersifat inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat Johor.

Melalui ikrar itu, tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri Johor dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Tambahnya, sekiranya PN diberikan mandat pada PRN Johor, parti itu akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendokong pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa.

“Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan  syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri.

“Ini merangkumi usaha-usaha untuk menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Tambah Muhyiddin, sebagai sebuah negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, Johor mempunyai potensi yang amat besar untuk dipacu ke tahap yang optimum.

Perikatan Nasional akan memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor.

Oleh itu PN menyediakan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022 – 2032 yang menyeluruh dan holistik akan disediakan bagi memperkasa masa depan ekonomi Johor.

Pelan sedekad itu mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat dan menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar.

Tambah beliau, pembangunan mampan ekonomi Johor akan disokong melalui pendigitalan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Selain itu penyediaan hab PMKS dan Skim Prihatin PMKS, pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor diberikan untuk tempoh lima tahun agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Timbalan Presiden Bersatu  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr. Mohd. Radzi Jiddin.-MalaysiaGazette