JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan ceramah atau syarahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan sehingga pukul 12 tengah malam.
Kebenaran tersebut merupakan sebahagian daripada pindaan dan tambahan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Covid-19 berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pindaan dan tambahan pada SOP Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor Ke-15 berkuatkuasa serta-merta.
Sebelum ini mengikut SOP yang sama, ceramah atau syarahan PRN hanya dibenarkan sehingga pukul 10 malam.
SPR turut membenarkan ceramah, syarahan atau kempen diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi.
“Jumlah kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain.
“Dan memakai pelitup muka. Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ceramah dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan sama sekali, ujarnya.
SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. – MalaysiaGazette