KUALA LUMPUR – Perang antara Rusia dengan Ukraine selain faktor Ramadan dan Aidilfitri yang mula tiba telah mendorong kenaikan harga emas sebanyak 10 peratus dalam tempoh sebulan.
Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia (FGJAM), Datuk Steven Siow berkata, pasaran emas global memang menunjukkan trend peningkatan kerana setiap kali berlaku perang, harga emas juga akan melambung.
Katanya kepada Sinchew Daily, emas telah menjadi rebutan pelabur dan juga pembeli selepas meletusnya perang.
Menurutnya, harga emas 999 adalah RM290 satu gram pada Januari, tetapi kini telah meningkat kepada RM330 dengan trend peningkatan dijangka berterusan.
Tambahnya, harga untuk emas 916 juga meningkat daripada RM260 satu gram pada awal tahun kepada RM285 satu gram sekarang.
Ujarnya, bulan Ramadan selalunya juga merupakan tempoh meriah pembelian emas dan perniagaan biasanya akan melonjak 20 hingga 25 peratus.
“Banyak kedai telah menerima banyak tempahan dan tempahan emas untuk kedai saya sendiri perlu menunggu sehingga April untuk disiapkan.
“Dengan lain kata, telah berlaku permintaan melebihi penawaran dan pelanggan perlu menunggu sebulan untuk mendapatkan barangan emas yang ditempah,” katanya kepada Sinchew Daily.
Beliau berkata, walaupun harga emas tetap tinggi, tetapi pembelian masih ada kerana orang ramai menjangkakan harga akan terus naik.
“Musim perayaan pula membawa momentum dalam pasaran kerana kaum Melayu memang meminati emas, terutamanya semasa perayaan Aidilfitri.
“Walaupun ada yang mungkin tidak membeli, tetapi mereka juga akan membawa emas yang lama untuk menukarkan emas baharu sebagai persediaan untuk perayaan,” katanya. – MalaysiaGazette