Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan replika cek kepada penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia sambil diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana Johor Bahru Mall, Johor. Foto AFFAAN FAUZI, 04 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur mencatatkan kejayaan apabila sasaran padanan perniagaan merekodkan pencapaian RM5.26 juta.

Ia melepasi sasaran RM3 juta yang diunjurkan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang  bermula sejak Khamis lalu turut mencatatkan hasil jualan usahawan tempatan dengan nilai jualan sebanyak RM186,191 secara keseluruhan.

Menurut beliau, jualan tersebut dihasilkan melalui enam booth jualan Keluarga Malaysia yang mengambil bahagian bernilai RM49,110.

“Bagi segmen Jualan Usahawan yang melibatkan 150 booth turut merekodkan jualan sebanyak RM130,447.40 manakala  segmen jualan Citarasa Keluarga Malaysia yang membabitkan sembilan booth mencatatkan jualan sebanyak RM27,811.

“Sementara itu, jualan Food Truck pula mencatat jualan RM22,346.00. Semoga Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini akan memberi nilai tambah baharu yang akan mendasari setiap usaha ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) yang berlangsung di Plaza Angsana di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ismail Sabri menambah, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia penting dalam menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.

“Program ini memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan.

“Ia berikutan agensi kerajaan Persekutuan sama ada menerusi perkhidmatan kaunter bergerak disediakan pada program jelajah yang dijadualkan di negeri itu,” katanya.

Program jelajah itu diadakan susulan sambutan gemilang acara 100 Hari Keluarga Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur Convenction Centre (KLCC) sebelum ini dan kini diperluaskan jelajah di peringkat negeri dengan Johor menjadi negeri pertama.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan perkhidmatan kerajaan yang disediakan secara langsung kepada Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette