Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Polis memberkas tiga beradik yang dipercayai terlibat dalang sindiket haram bersama 1,119 karton rokok seludup bernilai lebih RM80,000 dalam serbuan di Peramu dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, serbuan dilakukan pihaknya di rumah kayu kosong yang dijadikan stor untuk menyimpan rokok seludup tersebut petang semalam.

Ketiga-tiga beradik tersebut mendapatkan bekalan secara atas talian menerusi kumpulan WhatsApp ‘Rokok Seludup” untuk dijual di kedai runcit milik suspek.

“Siasatan mendapati suspek menyembunyikan dan memiliki rokok seludup yang tidak dibayar cukai kastam. Rokok yang dirampas akan dirujuk dengan pihak Jabatan Kastam Pahang untuk menentukan nilai taksiran cukai rokok tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wan Mohd Zahari, hasil soal siasat awal suspek utama yang berusia 50 tahun itu mengaku telah menjalankan perniagaan kedai runcit di Sungai Soi dan menjadikan bekalan rokok seludup sebagai bekalan rokok untuk perniagaan kedai runcit miliknya.

Manakala kedua-dua adik suspek berusia 25 dan 36 tahun dikatakan turut membantu dalam kegiatan penerimaan rokok seludup daripada pembekal.

Kesalahan menjalankan kegiatan seludup rokok tanpa cukai kastam boleh dikenakan hukuman denda 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 Yang mana lebih tinggi nilaian atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak kurang enam  bulan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette