Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Sebanyak 1,411 permit telah dikeluarkan bagi ceramah dan kempen sejak hari penamaan calon pada 26 Februari 2022 sehingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam tempoh yang sama, polis turut menolak enam permohonan yang dibuat oleh parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Antara faktor permohonan itu ditolak ialah bagi mengelakkan berlaku perselisihan kerana bersebelahan dengan ceramah lain dan selain lokasi yang tidak sesuai.

”Mana-mana parti boleh memohon permit dan kita tak ada masalah untuk meluluskannya asalkan menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita juga akan menghantar pasukan pemantauan ke lokasi ceramah bagi memastikan tidak ada perkara tidak diingini berlaku.

”Setakat ini, belum ada sebarang insiden kekecohan yang berlaku di mana-mana ceramah dan berharap petugas parti dapat meneruskan kempen secara berhemah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sepanjang kempen PRN Johor berjalan, seramai 806 pegawai dan anggota siasatan jenayah ditugaskan di lapangan untuk menjaga keselamatan demi memastikan kelancaran proses demokrasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak penamaan calon hingga semalam, sebanyak 152 laporan polis yang telah diterima pihaknya.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka bagi kes khianat kepada poster dan banner parti politik yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan lain yang dikesan ialah ceramah tanpa permit, khianat dengan api serta hantaran Facebook yang menimbulkan kemarahan dan berbaur lucah serta membangkitkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Selain itu, turut disiasat ialah perbuatan melakukan kecederaan, ceramah tanpa permit dan pelanggaran SOP, berkempen tanpa patuhi batasan, hantaran media sosial berbaur fitnah dan ketidakpatuhan SOP dan perbuatan yang mungkin merebakkan wabak Covid-19,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.- MalaysiaGazette