Noh Omar

PONTIAN – Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad adalah pemimpin yang cukup prihatin kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, buktinya di bawah pentadbiran Hasni, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk menampung faedah keuntungan kepada usahawan yang membuat pinjaman.

Ertinya, apabila usahawan IKS meminjam dengan Bank Rakyat  mereka tidak perlu bayar keuntungan.

Pinjaman itu disediakan di bawah pembiayaan Johor Niaga Bank Rakyat.

”Apa yang dipinjam itulah jumlah sama perlu dibayar dan kadar faedah dibayar kerajaan negeri ini menunjukkan bahawa Hasni begitu prihatin dalam membantu usahawan Johor

”Sebab itu pemimpin sebegini perlu diberi peluang kerana apa yang dibuat oleh Hasni perlu dihargai,” katanya.

Terdahulu, Noh mengadakan sesi Dialog bersama Usahawan dan Koperasi di Sungai Pinggang, Benut petang tadi yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Dalam pada itu, Noh menambah, kerajaan tidak pernah mengamalkan sikap ‘pilih bulu’ dalam menyalurkan sumbangan mahupun bantuan khasnya kepada rakyat terutama pada musim penularan Covid-19.

Sebaliknya, rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik dibantu sama rata, lebih-lebih lagi melibatkan bantuan pinjaman kepada usahawan IKS.

”Apa lebih penting program atau bantuan kita buat sampai kepada rakyat. Kita bagi sumbangan atau peruntukan pada semua, lagipun mana kita tahu fahaman politik mereka,” ujar beliau yang mengulas mengenai dakwaan kerajaan dikatakan “pilih bulu” dalam menyalurkan bantuan.

Tegas Noh, dalam membantu usahawan IKS mahupun rakyat, soal fahaman politik tidak seharusnya dicampuradukkan.

Jika wujud sikap tersebut, ianya hanya akan merugikan ekonomi negeri dan tidak dapat membantu golongan usahawan yang mahu memajukan ekonomi dan diri mereka sendiri.

“Perkara ini tidak seharusnya wujud kerana ia akan merugikan sahaja. Ekonomi rugi apatah lagi usahawan. Jadi sekali lagi saya mahu tegaskan ketepikan soal atau fahaman politik dalam membantu usahawan,” katanya. – MalaysiaGazette