Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Kematian Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pusat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Sarawak pada 5 Mac lalu adalah berpunca daripada penyakit arteri koronari (coronary artery disease).

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad berkata, post mortem telah dijalankan ke atas OKT itu di Hospital Umum Kuching pada 8 Mac lalu.

“Hasil post mortem mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan punca kematian adalah coronary artery disease.

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

OKT itu merupakan seorang lelaki warga Indonesia berumur 48 tahun yang ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Lelaki tersebut telah dituduh pada 1 Mac 2022 dan ditempatkan sementara di lokap Balai Polis Pusat, IPD Bintulu.

Menurut Azri, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam tahanan (USJKT) di bawah JIPS, Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner. – MalaysiaGazette

Polis siasat kematian OKT di lokap IPD Bintulu