Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan menjalankan siasatan kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pusat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Sarawak.

Pengarahnya, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian itu kira-kira jam 11.15 pagi semalam.

Katanya, OKT itu merupakan seorang lelaki warga Indonesia berumur 48 tahun yang ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“OKT telah dituduh pada 1 Mac 2022 dan ditempatkan sementara di lokap Balai Polis Pusat, IPD Bintulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azri, semalam, OKT mengadu sesak nafas dan telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.

Namun, jelas beliau, pihak hospital telah memaklumkan bahawa warga Indonesia tersebut telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui.

Berikutan itu, katanya, JIPS menerusi Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam tahanan (USJKT) akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut. – MalaysiaGazette