Bendahari Agung BN hadir memberikan sokongan kepada dua calon DUN Parlimen Simpang Renggam hari ini.

SIMPANG RENGGAM -Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin  Hussein memberi dua nasihat kepada keseluruhan jentera parti itu supaya sentiasa tidak mengambil mudah kemenangan besar bakal dikecapi oleh mereka pada Sabtu ini.

Walaupun beliau berpuas hati dengan momentum dan laporan kawasan setakat ini namun BN perlu masih berjaga-jaga apatah lagi tinggal tiga hari berbaki untuk berkempen.

“Jangan ambil mudah, ada beberapa hari sahaja lagi. Buat perancangan dengan tersusan dan teratur. Kena pastikan pengundi-pengundi yang sokong kita keluar mengundi pada Sabtu ini. Itu paling penting.

“Saya puas hati dengan laporan di kawasan-kawasan semangat tinggi, ada pengalaman dan struktur kerja baik, perjalanan kempen kita baik tapi saya masih lagi bersikap konservatif. Jangan silap langkah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan calon-calon Parlimen Simpang Renggam iaitu N26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan N27 Layang-Layang, Datuk Abd Mutalip Abd Rahim bersama jentera dan penyokong petang tadi.

Dalam pada itu ketika disoal tentang dakwaan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan kononnya Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilantik sebagai menteri besar jika menang besar, Hishammuddin hanya tertawa.

Mohd Puad ketika ini adalah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Kata Hishamuddin dakwaan itu hanya untuk melaga-lagakan pihak tertentu dan sepatutnya umum tidak terikut dengan sentimen itu.

“Datuk Puad sendiri dah nafi kan? Malah beliau juga kata tidak mahu dilantik sebagai Exco pun.

“Ini perkara biasa bila hendak dekat dengan pilihan raya, jangan terikut-ikut sentimen yang boleh pecah belahkan kita. Apa yang penting adalah kemenangan BN, itu sahaja,” tegasnya.

Wan Saiful dalam Facebook miliknya mendakwa, Ahmad Zahid mahu meletakkan calonnya sendiri iaitu Mohd Puad sebagai Menteri Besar Johor jika BN menang dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menjelaskan, BN tetap memilih Datuk Hasni Mohammad seperti yang sudah dipersetujui kerana prestasi ditunjukkan beliau sebelum ini semasa menjadi Menteri Besar Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast