Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Madzhir Khalid (kiri) mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kanan) menyerahkan replika kunci kepada penerima pada Majlis Cabutan Undi Plot Rumah Taman Dato' Hajah Fatimah Salim (Parit Makuaseng) di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2022.

PONTIAN – Kerajaan Johor berhasrat mengembangkan pembangunan penempatan baharu tanah rizab kerajaan ke seluruh negeri untuk manfaat lebih ramai rakyatnya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad berkata, ia merupakan pembangunan yang lengkap daripada segi keperluan asas sesuatu penempatan termasuk surau, dewan orang ramai dan gerai.

“Mungkin saya akan berbincang dengan kementerian melalui Perbadanan Perumahan Negeri Johor, bagaimana kita akan dapat memberi peluang seperti ini kepada seluruh rakyat johor yang kini masih lagi berada di kawasan-kawasan tanah simpan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Undian Plot Rumah Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan di Benut hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Madzhir Khalid (kanan) mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kanan) beramah mesra dengan penerima rumah pada Majlis Cabutan Undi Plot Rumah Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim (Parit Makuaseng) di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Johor hari ini.

Majlis tersebut merupakan program pembangunan kawasan penempatan baharu bagi tiga buah kawasan perumahan yang berada di tanah simpan kerajaan.

Menurut Hasni, kerajaan negeri bekerjasama dengan KPLB menjayakan satu pembangunan penempatan baharu dan ia dapat memberikan keselesaaan mengatasi isu keselamatan untuk penduduk ekoran tempat asal mereka tidak sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan penempatan.- MalaysiaGazette