sprm
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk dan sepasang suami isteri disyaki menjadi ‘orang dalam’ sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan penggubahan wang haram.

Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak 2015 hingga 2020 ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, anggota sindiket yang ditahan berusia antara 34 hingga 47 tahun terdiri daripada pekerja teknikal dan kakitangan syarikat pembekal akan dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok membabitkan lebih 100 pertuduhan.

Kelima-lima individu itu termasuk seorang wanita ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata pertuduhan berkenaan melibatkan aset-aset yang telah dimiliki iaitu hasil wang haram yang diperoleh daripada kegiatan sindiket seperti wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.

Beliau berkata, kesemua mereka juga akan dituduh di mahkamah lain di beberapa negeri antaranya di Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.

Sebelum ini, pada April tahun lalu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terbabit dalam pengeluaran PLKS palsu.

Media turut melaporkan sindiket pengeluaran PLKS palsu itu tumpas apabila lima individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Operasi SPRM dengan kerjasama Imigresen turut merungkai kegiatan sindiket itu yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Berikutan itu, sebanyak 147 akaun meliputi 30 individu dan 11 syarikat dengan nilai berjumlah RM9.98 juta dibekukan.

Selain itu, 30 unit hartanah dengan anggaran nilai berjumlah RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta, disita serta dibekukan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast