KOTA TINGGI – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu memandang serius kekurangan tanah perkuburan orang Islam di Felda Air Tawar 1 di sini yang didakwa masih berlarutan sejak tujuh tahun lalu.
Anak peneroka generasi kedua Felda Air Tawar 1, Mohd Dalha Wahab mendakwa, keperluan tanah perkuburan itu sangat mendesak ketika ini kerana tanah perkuburan sedia hanya mampu menampung kurang 50 jenazah sahaja.
“Ruang untuk rizab kubur ini memang sudah tiada, yang tinggal hanya untuk beberapa orang, sebelah atas hanya ada lebih kurang untuk 40 orang sahaja.
“Dalam masa dua tahun ini, kalau jadi apa-apa, perkara ini akan timbul masalah, takkan esok kalau kata betul-betul penuh, sampai jalan pun kita nak tanam orang?
“Saya minta pihak atasan Felda bagilah ruang untuk dapatkan tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Air Tawar 1, di sini, baru-baru ini.
Mohd Dalha, 54, mendedahkan, isu kekurangan perkuburan itu telah disuarakan setiap kali mesyuarat bersama kepimpinan Felda kawasan itu namun masih menemui jalan buntu dan tiada kesudahannya.
“Perkara ini dibangkitkan sejak tujuh ke lapan tahun, tapi Felda hanya beri alasan tiada tempat.
“Ada juga peneroka yang usulkan untuk ambil tanah dia dua ekar bersebelahan dengan perumahan tapi Felda tidak luluskan,” katanya.
Ditanya tentang reaksi wakil rakyat sebelum ini, Mohd Dalha mendakwa perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penawar, namun perkara itu berlarutan tanpa tindakan.
“Sehingga ke hari ini, masih jadi pemerintah pun tak buat juga….tak jadi juga. Saya harap Perikatan Nasional (PN) dapat disegerakan perkara ini kerana keadaan tanah kubur di sini terlampau tenat.
“Kalau boleh perkara ini disegerakan, kalau boleh tahun ini kami nak juga tanah kubur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette