Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Penggunaan katil bagi kes kritikal Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) di enam negeri sehingga semalam menunjukkan Pulau Pinang meningkat kepada 57 peratus berbanding 51 peratus kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga negeri iaitu Kelantan, Johor dan Putrajaya masing-masing kekal penggunaan 79 peratus, 68 peratus dan 67 peratus.

Katanya, ini diikuti Kuala Lumpur dan Selangor menunjukkan penurunan penggunaan iaitu 62 peratus semalam berbanding 73 peratus kelmarin bagi Kuala Lumpur) dan 57 peratus semalam berbanding 66 peratus kelmarin bagi Selangor.

Dr. Noor Hisham Abdullah

“Penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) hanya satu negeri, iaitu Melaka 60 peratus, menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50 peratus.

“Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula meningkat kepada 229 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator sebanyak 26 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

Ini katanya, memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

Pada masa sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga. – MalaysiaGazette