Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran Hari Terbuka (GLC) 2022 di Pusat Konvesyen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) kini dijenamakan GLC Demi Rakyat dan Negara dengan skop lebih luas daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, potensi rangkaian GDRN perlu ditambah baik supaya bersifat responsif dan lebih proaktif khususnya membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, menerusi skop baharu ini, GDRN akan menerajui usaha tanggungjawab sosial korporat secara selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC dalam masa yang sama memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan tertentu.

“Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan; manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Terbuka GLC 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Sebagai rekod, pada tahun 2013, beberapa GLC dan GLIC telah bergabung untuk menubuhkan GDRN demi  menyelaraskan pemberian bantuan sosial dan pembinaan semula selepas bencana alam atau malapetaka.

Ismail Sabri berkata, rangkaian GDRN antara tahun 2013 dan 2016 telah menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor.

Tambah beliau, dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2020, GDRN juga telah berjaya membantu lebih daripada 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM 327 juta, termasuk geran padanan Kerajaan melebihi RM55 juta.

Untuk rekod, tema Hari Terbuka GLC 2022 kali ini adalah ‘Aspirasi Masyarakat, Inspirasi Negara’.- MalaysiaGazette