Ampang landslide tanah runtuh bukit permai 2
The search and rescue team with the family members of the last victim who was killed in the Taman Bukit Permai 2 landslide in Ampang, Kuala Lumpur. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 11 MARCH 2022. Waris korban keempat iaitu korban terakhir dipercayai lelaki berbangsa india mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika tinjuan Malaysia Gazette di Taman Bukit Permai2 Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022

KUALA LUMPUR – Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kelima-lima mangsa yang dilaporkan tertimbus itu bermula kira-kira sembilan jam lepas dengan sebuah jentera berserta sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang.

Mangsa pertama iaitu seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan namun isterinya iaitu mangsa kedua yang ditemukan pada 7.53 malam, meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa keluar pada 9.15 malam.

Kira-Kira sejam setengah kemudian, mayat mangsa ketiga iaitu seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik rumah dibawa keluar pada 10.58 malam.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak mengesahkan penemuan mayat mangsa keempat dan kelima, kedua-duanya lelaki warga tempatan termasuk seorang pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), masing-masing pada 12.46 tengah malam dan 1.59 pagi.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.

Identiti kesemua mangsa yang dibawa ke Hospital Ampang belum dikenal pasti.

Sebuah pusat pemindahan sementara turut dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Mega Jaya namun tinjauan Bernama mendapati belum ada mangsa yang berpindah ke situ setakat 3 pagi.

Terdahulu, penghuni di kawasan perumahan itu digemparkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada runtuhan tanah yang berlaku sebanyak dua kali ketika hujan lebat petang semalam malah detik-detik kejadian tersebut turut direkodkan oleh orang awam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini meramalkan Kuala Lumpur mengalami hujan berterusan di beberapa kawasan hingga 14 Mac.

Kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan berita sedih tersebut menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya dan meminta orang ramai mendoakan agar semua mangsa dapat diselamatkan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan di Twitter beliau pula memaklumkan MPAJ turut membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan operasi SAR.

— BERNAMA


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast