Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh (tengah) merasmikan program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Lebih separuh, atau hampir 3,000 daripada keseluruhan 5,000 individu terlibat dadah di Melaka terdiri daripada golongan belia.

Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kumpulan itu merupakan mereka yang berusia antara 19 hingga 39 tahun.

Menurut beliau, perkembangan itu dilihat membimbangkan kerana belia adalah pelapis yang menjadi tulang belakang dan harapan negara pada masa hadapan.

“Pada tahun 2021 lalu setakat September, daripada 5,000 yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 2,809 orang atau 56.2 peratus adalah belia berusia 19 hingga 39 tahun.

“Ini diikuti golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas (2,140 orang) selain remaja berumur 13 hingga 18 tahun seramai 50 orang.

“Penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa ini jelas boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi, rohani dan budaya apatah lagi generasi muda paling ramai yang merupakan tulang belakang dan harapan negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata melalui teks ucapannya yang dibacakan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh pada program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, berdasarkan data sehingga Januari tahun ini, pekerja buruh adalah paling ramai terlibat dadah iaitu 500 orang, diikuti pekerja perkhidmatan (171), peniaga (156), pekerja binaan (135) dan 134 adalah pekerja kilang.

“Turut terlibat dadah adalah pekerja sektor pengangkutan seramai 107 orang, nelayan (45) dan penganggur (36) selain 27 orang penjawat awam.

“Justeru saya berharap agar semua ahli masyarakat amalkanlah sikap bertanggungjawab dan ambil peduli dalam memastikan persekitaran tempat tinggal, keluarga, institusi pendidikan dan tempat kerja bebas daripada ancaman dadah,” katanya.

Tambahnya, hanya dengan adanya usaha kolaboratif melibatkan semua pihak dapat memastikan sasaran pengurangan 30 peratus rakyat Melaka terlibat dadah menjelang 2025 dapat dicapai. – MalaysiaGazette