Datuk Razali Ibrahim mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Menanti Parit Jawa pada jam 2 petang tadi bersama isterinya, Datin Melissa Munshir.
Datuk Razali Ibrahim mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Menanti Parit Jawa pada jam 2 petang tadi bersama isterinya, Datin Melissa Munshir.

MUAR – Disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah setakat jam 3 petang tadi, UMNO Muar sedang giat mengerahkan jentera untuk memastikan pengundi-pengundi di bahagian itu untuk keluar mengundi.

Ketua UMNO Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, pihaknya kini menumpukan kepada pengundi-pengundi putih yang telah dikenalpasti bagi memastikan peratusan keluar mengundi bagi daerah itu meningkat.

“Sekarang kita sedang kerah sebab dengan jumlah sedikit ini juga sedikit sebanyak melibatkan pengundi kita.

“Jadi kita sedang menelefon, kenderaan kita pun bersiap sedia di halaman rumah. Kita tahu pengundi kita tinggal di mana, parti lain mungkin kita tak tahu dok mana, kita akan masih merayu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau sebelum itu mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Menanti Parit Jawa pada jam 2 petang tadi bersama isterinya, Datin Melissa Munshir, 52 di saluran dua.

Bekas Ahli Parlimen Muar itu berkata perkara itu penting bagi memastikan semua pengundi putih dapat keluar mengundi dan memberikan peratusan undi yang lebih kepada BN.

“Kalau keluar 100 peratus atau pun 30 peratus pada BN yang paling mustahak jumlah  adalah pengundi putih kita,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga jam 4 petang tadi peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 46 peratus.

PRN Johor hari ini membabitkan 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN itu di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Untuk rekod, proses pengundian yang bermula jam 8 pagi tadi akan berakhir pada jam 6 petang ini. – MalaysiaGazette