ADUN Kota Iskandar Pandak Ahmad memenyantuni dan memberi sumbangan kepada Md Fadzil Arshad yang sakit terlantar di Jalan Enau Teratai, Johor Bahru. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Seorang bekas warden penjara, Md Fadzil Arshad yang mengalami kencing manis kronik sehingga menyebabkannya terlantar sejak beberapa bulan lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar yang baharu, Pandak Ahmad.

Menurut isterinya, Ramlah Mohd Noor, 63, kesan daripada penyakit kencing manis yang dihadapi suaminya yang kini berusia 65 tahun menyebabkan Md. Fadzil terpaksa mengambil insulin dua kali sehari bagi memastikan kadar gula terkawal.

Disebabkan komplikasi itu, bapa kepada tiga orang anak yang kini terlantar atas katil dan menggunakan tiub plastik untuk membuang najis sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, Md. Fadzil yang ditemui sebak tidak menyangka wakil rakyat yang baharu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam menyantuninya hingga ke rumah hari ini.

“Saya rasa berbesar hati kerana datang ke rumah saya dan apa segi bantuan yang ada, jadi saya nak ucapkan terima kasih. Saya tak pernah sangka jadi sebegini. Saya terharu dan saya nak ucap tahniah atas kemenangan Tok Pandak selama berjuang untuk Barisan Nasional (BN).

“Terima kasih banyak-banyak dan saya tak sangka dia datang itu pun ketua bahagian maklumkan. Itu saya terharu,” katanya yang ditemui di kediamannya dekat Skudai hari ini.

Sementara itu, Pandak turut menyampaikan bantuan kerusi roda  baharu untuk kegunaan Md. Fadzil selain wang tunai sumbangan peribadinya kepada pasangan suami isteri terbabit.

“Petang ini saya ziarah Pak Cik Fadzil yang kencing manis dan ada operation dan kita simpati dan insya-Allah kita akan hantar bekalan perubatan dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, katanya, urusan bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Majlis Agama Islam Negeri Johor akan diperhalusi untuk keluarga berkenaan.- MalaysiaGazette