Orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan ujian saringan susulan kenaikan mendadak jumlah kes positif Covid-19 sejak beberapa hari yang lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klinik Anda Kota Damansara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah jangkitan harian Covid-19 kembali menurun di bawah 30,000 apabila 26,250 kes baharu dilaporkan semalam.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 545 merupakan kes import manakala selebihnya adalah penularan tempatan.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di dalam negara adalah 3,801,036.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak 8,652 kes yang berada di kategori 1, 17,421 kes (Kategori 2) manakala 70 kes untuk Kategori 3.

“Kategori 4 adalah 60 kes (0.23%) dan Kategori 5 adalah 47 kes (0.18%),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Dr. Noor Hisham, 43 daripada 177 kes yang berada di kategori 3,4 dan 5 tidak mempunyai sejarah vaksinasi atau belum mendapat dos lengkap.

Manakala 91 kes daripada kategori berkenaan pula belum menerima dos penggalak.

Dalam pada itu Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 367 kes Covid-19 berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), 211 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan turut mengenal pasti dua kluster baharu melibatkan jangkitan virus berkenaan.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 25,089 kes yang telah sembuh daripada jangkitan virus berkenaan.- MalaysiaGazette