ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya bertemu para pengundinya hari ini.

JOHOR BAHRU – Penduduk Puteri Wangsa akan dilibatkan dalam perbincangan mengenai polisi-polisi yang memberi kebaikan termasuk isu-isu berbangkit yang memerlukan perhatian wakil rakyat.

Itu janji Amira Aisya selepas memenangi mandat rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi.

Selain itu, beliau juga akan mengutamakan usaha untuk menyediakan Pusat Khidmat MUDA Puteri Wangsa untuk memastikan penduduk mempunyai akses bertemu dengan beliau sebagai wakil rakyat yang baharu.

“Ia sangat penting dan saya perlu pastikan rakyat Puteri Wangsa ada akses kepada pejabat tersebut. Sekiranya mereka ada masalah atau apa sahaja mereka boleh hadir ke sana,” kata Aisya.

Beliau ditemui MalaysiaGazette selepas bertemu dan menzahirkan terima kasih kepada penduduk di sekitar Taman Setia Indah di sini yang mengundinya semalam.

Amira yang baru berusia 27 tahun berbangga dan gembira dengan prestasi kali pertama MUDA bertanding.

“Ini kerana MUDA baru berdaftar empat bulan dan logo MUDA juga adalah logo sangat baru. Rata-rata apabila kita lihat, kebanyakan parti-parti baru sukar untuk mereka menang deposit tetapi MUDA tidak ada satu kerusi pun yang kita kalah deposit,” katanya.

Namun katanya, masih banyak perkara yang perlu dipelajari supaya dapat memberikan yang terbaik buat rakyat yang telah memberikan mandat kepadanya.

“Kami akan buat analisa penuh keputusan supaya kita juga boleh melihat kembali apa juga strategi yang bagus untuk kita bergerak ke hadapan,” ulasnya.

Untuk rekod, Amira menang bergaya di Puteri Wangsa dengan majoriti undi sebanyak 7,114 mengalahkan lima calon lain daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas pada PRN Johor semalam.- MalaysiaGazette