Faiz Fadzil

JOHOR BAHRU – Terdapat enam sebab mengapa Pakatan Harapan gagal menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lalu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil berkata, faktor pertama kemenangan BN adalah disebabkan perpecahan dalam kalangan pembangkang.

“Perpecahan undi dalam kalangan pembangkang telah mengakibatkan BN selesa memenangi PRN ini.

“Undi pembangkang terutama undi Melayu terbahagi-bahagi kepada beberapa parti pembangkang yang bertembung terutama PH-Perikatan Nasional.

“Kemenangan PH dalam PRU-14 lalu kerana penyatuan semua parti pembangkang dengan wujudnya sebuah parti teras Melayu. Formula ini perlu digunakan sekali lagi,” katanya.

Selain itu, menurut Muhammad Faiz, rakyat melihat PH tidak bersatu dan tidak memperlihatkan perpaduan dalam kalangan parti yang menentang BN.

Tegasnya, isu penggunaan logo yang berbeza antara Amanah, DAP dan PKR telah memberikan tanggapan awal yang buruk kepada pengundi.

“Jika isu logo sendiri gagal diselesaikan di peringkat awal, ini membawa tanggapan kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti sukar bertahan lama.

“Formula melawan satu musuh perlu dikenalpasti dahulu, disusuli satu logo, satu manifesto dan satu suara,” katanya.

Tambah beliau, PH juga tidak membawa isu yang berkesan dalam kempen-kempen yang dijalankan dalam memenangi sokongan dan jiwa pengundi Johor.

Sedangkan, menurut beliau, Barisan Nasional berjaya membawa isu yang dapat menarik perhatian pengundi iaitu kestabilan.

“BN membawa isu kestabilan sebagai core isu dalam PRN ini. Apabila berlaku langkah Sheraton, rakyat melihat kepada perlunya sebuah kerajaan yang stabil.

“Pembangkang terutama PH gagal membawa mesej kestabilan malah gagal menunjukkan kekuatan ini,” jelas beliau.

Selain itu PH juga gagal membawa isu berkaitan ekonomi yang melibatkan pengisian perut rakyat secara serius.

Dalam masa yang sama menurut beliau, isu rasuah yang dibawa oleh PH tidak dapat melawan naratif kestabilan yang dibawa oleh BN.

Kata Muhammad Faiz, pengundi Johor tidak lagi melihat isu rasuah sebagai perkara yang mereka utamakan.

“Bukannya rakyat Johor tidak memahami isu rasuah, cuma mood kali ini mahukan sebuah kerajaan yang boleh menjamin kehidupan terutama kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.

Selain itu, PH juga gagal menyakinkan pengundi Johor yang tinggal di luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab.

Muhammad Faiz berkata, walaupun ada usaha untuk memujuk mereka pulang namun itu tidak mencukupi terutamanya pengundi yang tinggal di Singapura.

“Walaupun ada pergerakan pengundi di Lembah Klang tetapi masih belum cukup. Kebanyakan pengundi secara asasnya mahu mengundi dalam PRU-15 daripada PRN.

“Oleh itu, gelombang kebangkitan rakyat perlu dibina semula bagi merangsang semangat keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi,” katanya.

Akhir sekali menurut ADUN Permatang Pasir itu, PH semakin lemah dalam penguasaan media sosial menyebabkan mesej kempen tidak sampai kepada pengundi.

Justeru kata beliau, PH perlu perkasakan semula tentera sibernya yang terbukti banyak membantu dalam kemenangan PRU-14 lalu.

Dalam PRN Johor Sabtu lalu BN menang majoriti dua pertiga dengan mengusai 40 DUN sementara PH dan rakan strategiknya MUDA hanya mendapat 13 kerusi sahaja.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast