Usaha berterusan Bernas bersama pesawah menerusi program SMART SBB bagi mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara.

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) terus memacu perkembangan yang positif dengan melebarkan keluasan hektar ladang padi kepada 12 lokasi di bawah Program Sawah Berskala Besar (SMART SBB) berbanding empat lokasi pada awal program tersebut

Ia merupakan program kerjasama di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), syarikat-syarikat peneraju seperti Bernas, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan lain-lain lagi bersama pesawah.

Ketua Jabatan Pengurusan Ladang Bernas, Norhisham Abdul Rahman berkata, penglibatan pesawah merupakan elemen terpenting program ini.

“Sehingga kini, Bernas telah berjaya membentuk pakatan kerjasama yang baik dengan hampir 465 orang pesawah berdaftar. Apa yang pasti, program ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen yang tinggi daripada para pesawah.

“Usaha kolektif secara berterusan ini amat penting dalam mendedahkan para pesawah tempatan dari segi pembangunan dan pengamalan teknologi pengurusan tanaman padi yang bersesuaian dengan perkembangan semasa, sekali gus mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lokasi Program SMART SBB ialah Sungai Batu Pahat dan Titi Tinggi di Perlis, Bukit Besar, Kedah; Sungai Manik, Perak; Tok Kamis dan Jelor, di daerah Pasir Putih, Kelantan; Gong Dasar, Terengganu; Gancong Hulu, Rompin Pahang; Batang Lupar, Sarawak serta Kampung Kalumbai, Kota Belud di Sabah.

Beberapa agensi pertanian utama seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Pertanian Negeri (JPN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) turut bekerjasama sebagai rakan pembimbing dalam usaha ini.

Beralih dari konsep pertanian konvensional, kata Norhisham, Program SMART SBB Bernas memfokuskan ke arah amalan
pertanian lestari dan berteknologi tinggi.

Tambah beliau, bagi merealisasikan usaha itu, Bernas yang merupakan antara perintis amalan pertanian lestari dalam sektor penanaman padi, turut bekerjasama bersama agensi-agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi tempatan.

“Kolaborasi strategik ini merupakan satu platform di mana mereka akan menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran di dalam bidang yang berkaitan,” tambahnya.

Menurut Norhisham, pelbagai inisiatif sedang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat seperti amalan kejuruteraan ekologi dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).

Turut dititikberatkan ialah penggunaan jentera moden yang berupaya memelihara kelestarian tanah, penggunaan teknologi dron pelbagai aplikasi, pengamalan jadual kerja ladang yang lebih sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik yang lain,ujar beliau.

“Bernas percaya bahawa ini merupakan suatu perancangan yang tepat ke arah pembangunan sektor padi tempatan, sekali gus memupuk kesedaran akan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, mewujudkan keseimbangan ekologi di sawah, melindungi kesihatan pesawah dan memperbaiki pengetahuan teknikal pesawah termasuk kawalan penyakit di sawah,” katanya. -MalaysiaGazette