Pakatan Harapan
Gambar Arkib MG

BENTONG – Susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Johor, seorang pemimpin muda DAP di Pahang sekali lagi meminta supaya partinya meninggalkan PH.

Daripada membentuk pakatan formal,  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut di Pahang, Lee Chin Chen sebaliknya mencadangkan DAP berteman tetapi bukannya berpakat dengan parti lain.

Chin Chen bersama ADUN Tras, Chow Yu Hui sebelum ini juga pernah mencadangkan DAP meninggalkan PH selepas kekalahan pakatan politik itu dalam pilihan raya di Melaka.

Chin Chen berkata, DAP berjaya mempertahankan 10 kerusi di Johor melalui undi kaum Cina sedangkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersaing untuk undi Melayu.

Katanya, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Ketua PH, tetapi tindakan PKR yang enggan menggunakan lambang PH menunjukkan pakatan itu hanya tinggal nama sahaja.

Ujarnya, tindakan MUDA yang memisahkan diri daripada PH dan Warisan yang “mengacau” menunjukkan “strategi khemah besar” tidak berkesan dan pakatan yang tegar atau “rigid” semakin sukar.

“DAp berjaya mempertahankan kebanyakan kerusi berdasarkan sokongan asas kami dan ini menunjukkan bahawa kami perlu berani untuk berseorangan dan menggunakan lambang roket untuk bertanding,” katanya dalam hantaran Facebook yang dipetik Sinchew Daily.

Chin Chen berkata, adalah sukar untuk PH untuk kembali ke Putrajaya dalam masa terdekat, maka apa yang paling diperlukan DAP sekarang bukannya mencari rakan pakatan untuk membentuk kerajaan, tetapi untuk memastikan nilai asas DAP bersinar semula.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, undi Cina di Johor tidak kembali kepada BN.

Katanya di Pulau Pinang, walaupun DAP pernah dikatakan hanya akan tinggal enam kerusi di Johor, tetapi parti itu tetap berjaya membawa pulang 10 kerusi.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, walaupun pengundi Cina masih cenderung menyokong DAP, tetapi MCA menunjukkan hasil yang agak baik apabila memenangi empat kerusi termasuk Yong Peng dan Bekok yang mempunyai 57.65 dan 48.68 peratus pengundi Cina.

Walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah, tetapi trend sesetengah pengundi Cina beralih kepada MCA adalah kelihatan, khasnya apabila MCA menampilkan calon-calon yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.