Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan hari ini atas enam pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM849,484.35.

KOTA BHARU – Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM849,484.35.

Muhammad Semail, 43, berdepan lima pertuduhan memiliki tanah di Kampung Kuala Rekan serta Tiang Layar dan Kampung Alor Pulai dalam jajahan Bachok dan Kampung Gong Kulim di jajahan Pasir Puteh bernilai RM580,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok serta Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh di antara 23 Mac 2015 dan 12 Sept 2020.

Abu Yazid Mohd, 38, pula didakwa memiliki wang tunai RM269,484.35 dalam akaun Bank CIMB Berhad di Cawangan Jalan Maju di sini pada 1 Julai 2021 yang juga merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) serta boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun, denda lima kali hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nik Hasline Hashim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor.

Terdahulu, Nik Hasline memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur agar prosidingnya dapat berjalan serentak dengan pertuduhan yang mereka hadapi sebelum ini.

Hakim Zaman Mohd Noor membenarkan kedua-dua tertuduh mengguna pakai ikat jamin yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini selain kes itu dipindahkan ke mahkamah berkenaan.

Pada 10 Mac lepas, mereka antara lima individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 81 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit berhubung sindiket sama.

Kedua-dua ahli perniagaan juga adalah antara empat individu yang berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit berhubung Pas Lawatan Kerja Sementara di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 11 Mac lepas.- BERNAMA