JOHOR BAHRU – Dalam banyak-banyak rempah, rempah beriani keluaran Shariff Grinding Mills mendapat permintaan ramai gara-gara resepi istimewa dalam proses membuatnya.
Keistimewaannya terletak kepada 10 campuran yang diadun termasuk kulit kayu manis, ketumbar, jintan halus, jintan kasar, bunga cengkih, bunga lawang, buah pala, buah pelaga dan serbuk lada.
“Kita campurkan semua, dan akan tambah kacang kuda dan kita akan masukkan kedalam mesin pengisar supaya menjadi serbuk” jelas pemiliknya, Abdul Whalid Mohamed Shariff mengenai keistimewaan rempah berianinya.
Menurut beliau, Shariff Grinding Mills beroperasi hampir 60 tahun di Pandan dekat sini dalam bidang pemprosesan puluhan rempah ratus bahan masakan.
Abdul Whalid,, 53, telah mewarisi legasi perniagaan keluarganya dan syarikat itu ditubuhkan arwah bapanya yang berasal dari Madras, India sebelum bertapak di negara ini.
Menurutnya, sejak di bangku sekolah lagi beliau sudah pun mengikut ayahnya berniaga untuk menuntut ilmu tentang selok-belok perniagaan.
Di kilang tersebut beliau menyediakan sepuluh jenis serbuk masakan, sembilan jenis rempah dan enam jenis tepung untuk kegunaan bahan masakan.
“Serbuk jintan kita ada, serbuk lada hitam, serbuk cili, serbuk kunyit, tak lupa juga rempah sup, rempah nasi Arab, tepung chapatti.. banyak lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Namun katanya, tatkala negara berdepan pandemik, perniagaannya turut terjejas terutamanya selepas banyak restoran yang menjadi pelanggannya ditutup.
“Kita sebagai pengeluar rempah terpaksa mengikut keadaan juga, pasal kedai banyak tutup. Dulu pelanggan beli 10 kilogram, cuma sekarang jadi empat kilogram atau pun mungkin hanya beli lima kilogram sahaja.
“Tapi saya bawa juga barang-barang bukan produk saya untuk didagangkan ketika berniaga. Sekurang-kurangnya dapatlah kurangkan kos transportasi” kongsinya.
Kini, beliau dibantu dua orang anak lelaki dan tiga pembantu di kilang tersebut untuk menjaga dan mengurus mesin-mesin pemprosesan rempah dan juga serbuk masakan.
“Saya tahu masing-masing ada citarasa sendiri, setakat ini, saya berniaga dan orang pun sudah selesa berurusan dengan saya khususnya rempah-rempah makanan” katanya.- MalaysiaGazette