Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminta bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan wujud isu kartel yang mencaturkan perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi kepentingan peribadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin berkata adalah lebih baik untuk Abdul Hamid membuat laporan serta memberikan semua data yang beliau peroleh dan jika benar wujud dakwaan itu, pihaknya bersedia melakukan siasatan.

“Kita juga hairan kenapa tindakan tidak diambil semasa beliau menjawat jawatan itu malah membuat dakwaan umum ketika habis tempoh bertugas.

“Dakwaan itu boleh menjejaskan nama baik kementerian dan seluruh agensi di bawah KDN,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 22 Feb lepas, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam kenyataan memaklumkan dakwaan wujud kartel dalam PDRM sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara itu tidak dapat ditentusahkan.

Pengerusi EAIC Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata keputusan itu adalah dapatan siasatan badan tersebut berdasarkan keterangan saksi dan dokumen yang diperoleh.

Mengulas isu stateless children atau anak-anak tanpa kad pengenalan di negara ini, Jonathan berkata adalah di luar bidang kuasa kerajaan jika pemohon ingin mendapatkan perintah mahkamah berhubung taraf kewarganegaraannya kerana ia merupakan inisiatif pemohon sendiri.

Beliau berkata kementerian hanya akan memproses dan mempertimbang permohonan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebenarnya, bagi mereka yang bukan warganegara, apabila mereka memohon kewarganegaraan, permohonan itu bukan secara hak mereka untuk mendapatkannya, itu terserah kepada bidang kuasa dan budi bicara kerajaan sedia ada.

“Kalau kita sewenang-wenangnya memberikan semua kewarganegaraan kepada bukan warganegara, apa akan jadi dengan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanya mengenai jumlah kes stateless children di negara ini dan tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan golongan itu mendapatkan perintah mahkamah. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast