Persembahan kebudayaan pada Majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2021 Norma Baharu di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Istana Budaya hari ini melancarkan sebanyak 12 Program Istana Budaya 2022 yang telah dirancang dan disusun sepanjang tahun ini.

Antaranya termasuk lima program terbitan Istana Budaya iaitu Konsert Lagu Rakyat, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Peter & The Wolf dan The Carnival of the Animals.

Selain itu, Tari Sulur & Nakasari, Dramatari Ratu Kuning Langkasuka dan teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh.

Selain itu, program luar yang telah diluluskan untuk pementasan setakat ini adalah Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun, Konsert Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab dan 5th Malaysia Golden Global Awards.

Selain itu, Thunder – Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022 serta tiga teater iaitu Antara Tiga, Tanjong dan Teater Muzika Moyang Salleh juga terlibat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha menghangatkan semula aktiviti seni persembahan pentas untuk tahun 2022.

Katanya , kewujudan ruang-ruang pementasan di Istana Budaya dapat memberi peluang pekerjaan serta kepuasan berkarya kepada penggiat seni turut menyumbang ke arah kelangsungan ekonomi industri tersebut.

“Istana Budaya juga perlu terlibat dengan penghasilan karya seni budaya bermutu dan mempunyai nilai estetika tinggi untuk produk teater, muzik dan tari yang mampu memberi tafsiran positif terhadap keunikan budaya tempatan,” katanya ketika melancarkannya di Istana Budaya hari ini.

Beliau juga turut mengumumkan insentif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun yang diberikan kepada syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian dan kebudayaan yang diluluskan oleh MOTAC bermula dari tahun 2022 hingga 2025.

Jelasnya beliau, insentif cukai tersebut terbuka kepada semua penganjur berkelayakan meliputi kategori persembahan pentas kesenian dan kebudayaan termasuk seni muzik, tari, lakon, seni mempertahankan diri, adat budaya, kesusasteraan dan audio visual termasuk media interaktif.

Beliau berharap insentif tersebut dapat membantu melonjakkan semula industri seni persembahan pentas dan memberi dorongan kepada penggiat seni untuk terus bergiat aktif.

Pada tahun lalu, Istana Budaya telah menerima hampir 6, 000 penonton untuk 11 program dalam tempoh lima lima bulan yang dibenarkan beroperasi tahun lalu.

Hasil pendapatan jualan tiket pula bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM130, 000.

Kedua-dua jumlah itu dijangka meningkat semula pada tahun ini termasuk hasil sewaan ruang sejajar dengan kenaikan penerimaan persembahan dari syarikat produksi tempatan dan agensi kerajaan yang lain.

Setakat ini Istana Budaya masih menerima permohonan untuk penyewaan ruang Panggung Sari bagi tahun 2022 dan 2023 mengikut kesesuaian program serta tarikh yang akan dipohon oleh penganjur.- MalaysiaGazette