Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang membawa mayat mangsa menggunakan helikopter di Kuala Lipis petang tadi

KUANTAN – Seorang pendaki gunung yang kehabisan tenaga dan mengalami cirit-birit maut di kem Kor Gunung Tahan dekat Kuala Lipis hari ini.

Mangsa dikatakan tidak mampu meneruskan pendakian sebelum itu, kata Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ali Mohd Noor.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari tadi dan mayatnya dibawa keluar menggunakan bantuan helikopter.

Mangsa, Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, dikatakan kehabisan tenaga untuk meneruskan pendakian bersama 12 pendaki lain dan dua malim gunung sejak 12 Mac lalu.

“Pada 16 Mac pukul 8.45 pagi, Balai Polis Merapoh telah terima maklumat daripada bomba berkaitan seorang pendaki telah mengalami kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan.

“Kumpulan pendaki mula mendaki pada 12 Mac dan dijangka sampai di Kuala Juram pada hari ini  dan ketika kejadian kumpulan pendaki menghala turun arah balik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan semasa dalam perjalanan turun, mangsa telah hilang tenaga dan lemah di mana jarak daripada lokasi kejadian dengan pintu masuk Kuala Juram lebih kurang 13 kilometer.

Tambah Azli, malim gunung mengatakan keadaan mangsa  mengalami cirit-birit selama dua hari dan tidak berupaya untuk makan serta dilihat amat lemah.

Mayat mangsa berjaya dibawa keluar pada pukul 2.50 petang tadi dan dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette