Pengundi 18 tahun, Mohd Khairul Azhar Mohd Ridza membuang undi buat pertama kali di pusat mengundi DUN Maharani pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Kebangsaan Ismail (1) Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan tidak akan menghalang pengundi untuk membawa telefon pintar ketika proses pengundi dijalankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Mas Ermieyati Samsuddin berkata, tiada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian setakat ini.

“Tidak ada keperluan untuk kita melarang membawa telefon bimbit kerana ia bukan dalam satu syarat. Hanya yang kita keluarkan adalah untuk larangan mengambil kertas undi yang perlu dipatuhi secara dengan penuh tanggungjawab,” jawab Mas Ermieyati.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang bertanyakan sama ada kerajaan ingin melarang membawa telefon bimbit ketika mengundi.

Persoalan itu dibangkitkan Rozman selepas tular beberapa kali kertas undi pada Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, perbuatan tersebut adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan perlu diberikan pendidikan khusus mengenai perkara itu.

“Telah tular pada PRN lepas pengundi kongsi di media sosial berkenaan kertas undi, ini adalah perbuatan yang tidak patut dan tidak wajar, kita harus mendidik pengundi lain,” jawab Mas Ermieyati.

Sebelum ini beberapa kertas undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tular dengan pelbagai kesalahan antaranya memangkah semua calon, tulisan provokasi dan banyak lagi.

Untuk rekod, perbuatan merakam kertas undi adalah menyalahi undang-undang dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954). – MalaysiaGazette