Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir prosiding 1MDB.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau bertemu dengan Low Taek Jho atau Jho Low di Istana Terengganu pada 2009.

Ismee berkata, ketika itu nama 1MDB adalah Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang bertujuan untuk untuk pembangunan ekonomi negeri tersebut.

“Perkenalan dengan penama Jho Low ini ketika majlis pelantikan Steering Committee (Jawatankuasa Pemandu) di Istana Terengganu. Jho Low sudah ada di sana ketika saya sampai dan perkenalkan dirinya secara santai sebelum bermulanya mesyuarat.

“Saya tidak tahu apa kapasiti Jho Low ada di majlis itu tetapi pada anggapan saya beliau merupakan penasihat kepada Tuanku Mizan,” katanya pada prosiding kes 1MDB yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berhadapan dengan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion.

Beliau menyatakan demikian ketika soal balas peguam bela, Datuk Hariharan Tara Singh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Barisan peguam bela, Datuk Hariharan Singh dan Tania Scivetti.

Ketika Hariharan bertanya tentang keakraban Jho Low dengan Istana Terengganu, Ismee berkata, beliau tidak pasti.

“Saya tidaklah akan cakap saya nampak Jho Low masuk dapur dan sebagainya. Dia hanya kenalkan diri secara santai dan berada di bilik mesyuarat itu, itu sahaja saya nampak,” ujarnya.

Dalam pada itu, pendakwaan membantah beberapa soalan yang dikemukakan kepada Ismee yang telah dibangkitkan kepada saksi kesembilan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebelum ini.

Ismee Ismail
Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir hari ke-26 perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2019

Hujah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa Kunyalam, soalan-soalan yang disoal kepada Ismee tentang Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion itu telah dikemukakan kepada Shahrol Azral sebelum ini.

Perkara itu dipersetujui Collin yang turut mempersoalkan tindakan Hariharan sambil mengingatkan beliau saksi terdahulu telah disoal balas tentang perkara tersebut, termasuk isu IMTN.

Bagaimanapun, kata Hariharan, beliau bertanyakan perkara itu kerana Ismee adalah sebahagian daripada Lembaga Pengarah TIA yang didakwa menentang penerbitan IMTN tersebut.

“Saya tanya soalan-soalan ini kerana beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah. Saya juga berkemungkinan bertanya perkara sama kepada saksi lain seperti Tan Sri Bakke Salleh yang juga bekas Pengarah TIA kelak,” ujarnya.

Sebelum ini, ketika Shahrol Azral menjadi memberi keterangan selama lebih setahun dalam perbicaraan itu memberitahu tentang permasalahan yang dihadapi dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong pada 2009.

Shahrol mendakwa, Sultan Mizan murka dengan rancangan TIA untuk menerbitkan IMTN berjumlah RM5 bilion, dan telah diminta istana untuk menghentikan program IMTN namun terbitan nota itu dilaksanakan.

Pada penghujung tahun 2009, TIA yang merupakan milik penuh Menteri Besar DiPerbadankan (MBI) Terengganu ditukar nama kepada 1MDB dan dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Hariharan mempersoalkan tentang peranan Shahrol Azral yang terus menerbitkan IMTN walaupun mendapat bantahan daripada pihak istana.

Ketika itu, Mohamad Mustaffa membantah dan memohon pasukan pembelaan bersikap lebih adil kepada saksi.

“Shahrol sudah beri keterangan tertuduh (Najib) yang memberi arahan supaya IMTN itu diteruskan,” ujarnya.

Hariharan kemudian menyoal Ismee adakah beliau bersetuju ia merupakan satu andaian bahawa Najib mahu meneruskan penerbitan IMTN.

Ketika mesyuarat anda dengan Shahrol dan Najib di Langgak Duta, adakah anda setuju itu adalah anggapan anda bahawa Najib mahu IMTN itu diteruskan,” soal Hariharan.

Ismee bersetuju bahawa beliau beranggapan Najib yang hendak meneruskan penerbitan IMTN itu.

Prosiding ditangguh Isnin depan. – MalaysiaGazette