KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori pengisar simen cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Jalan Semantan, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, hasil siasatan awal kejadian jam 4 petang itu mendapati kemalangan berlaku apabila lori tersebut dalam perjalanan menghantar muatan simen konkrit dari arah Jalan Sentul menghala ke Damansara Pavilion.

“Semasa melalui jalan susur di Jalan Semantan telah hilang kawalan, terbabas dan terbalik.

“Akibat kemalangan, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak Bomba,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Menurut Sarifudin, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee di talian 03 – 2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03 – 20260267/69 atau balai Polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette