Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar penerangan daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak pernah dan sama sekali tidak akan membuat provokasi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Dewan Rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sayap parti itu daripada awal lagi konsisten memutuskan perkara itu dibincang di peringkat top five dalam parti iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Sebab itu, kata beliau, isu itu tidak perlu timbul dalam kontak satu pihak hendak bubar, satu pihak tidak mahu bubar.

“Sebabnya inilah yang saya katakan bahawa adanya batu api, adanya tukang kipas dan adanya tukang cucuk yang mahu mengeruhkan kestabilan Pemuda.

“Saya hendak tanya ahli UMNO semua, pernah dengar atau tidak Perdana Menteri kata dia tidak hendak bubar Parlimen? Tidak pernah.

“Tetapi, ada yang terlolong-lolong menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. Saya nak tanya, siapa yang tidak sokong Perdana Menteri? Kita semua sokonglah,” katanya pada ucapan penangguhan Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) petang ini.

Beliau seterusnya meminta ahli Pemuda agar tidak memalukan parti seolah pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini akan mewujudkan persengketaan dan perbezaan antara mereka.

Asyraf Wajdi kecewa dengan kejadian ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, ada sekumpulan anak muda menjerit ‘bubar, bubar, bubar’ dalam satu majlis yang dihadiri Ismail Sabri.

“Berlaku satu perbuatan kurang adab dan biadab, memalukan Perdana Menteri dengan menjerit, memekik ‘bubar bubar bubar’. Saya tidak tahu apa yang berlaku, saya berada dalam dewan tapi mereka sebut perkara ini dan saya keluar, tengok.

“Saya tengok tak ada satu pun Pemuda kita, mereka bukan Pemuda UMNO. Saya risau kalau Pemuda yang menjerit terlolong begitu, sebab kita ada adab, ada tata susila.

“Saya mesej Perdana Menteri, saya kata saya tak setuju dan itu perbuatan kurang adab. Ismail Sabri jawab, dia tidak pernah sekali pun nyatakan dia tidak setuju bubarkan Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, UMNO sepatutnya bersyukur kerana Allah beri apa yang parti hendak iaitu memerintah ketika dalam kekalahan pada PRU14.

Kata beliau, itu juga motivasi kepada ahli parti ketika hendak membentuk kerajaan PN 1.0 tetapi tidak pernah terlintas akan menerajui kerajaan.

“Hari ini tuhan takdirkan Ismail Sabri selaku Naib Presiden kanan UMNO menjadi Perdana Menteri. Itu pun atas jiwa besar Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kita yang tidak mahu pegang jawatan Ketua Pembangkang, sebab beliau tahu beliau ada isu yang perlu ditangani dahulu.

“Itu yang membuka jalan kepada Ismail Sabri untuk menjadi Ketua Pembangkang kemudian menteri kanan kemudian Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri.

“Ini semua kerja Tuhan, bukan kerja kita. Sebab itulah saya setuju kita bukannya generasi yang tidak ada adab. Kita tahu platform mana yang kita nak nyatakan pendirian kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast