KUALA LUMPUR – UMNO perlu segera mewujudkan sekolah politik bagi menarik sokongan golongan muda meminati parti itu.
Wakil Perak, Datuk Azhar Ahmad berkata, orang muda perlu diajar berpolitik agar mereka dapat memahami erti perjuangan pada masa depan.
Politik, katanya, merupakan cara bagaimana menguruskan kehidupan sebagaimana yang pernah diperkatakan ahli falsafah, Socrates.
“UMNO tak ada sekolah politik, DAP ada sekolah politik, Pas ada sekolah politik. UMNO tidak ada sekolah politik kerana UMNO mahu jadi kerajaan selama-lamanya…kita merasakan tidak perlu sekolah politik ini.
“Tapi, sekarang ini ia penting, kena hidupkan (wujudkan) di Janda Baik dan sebagainya…Sekolah politik ini mesti dilaksanakan dengan kadar sangat-sangat segera untuk melatih anak-anak muda yang berumur 16, 17 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini hari ini.
Azhar berkata, sekolah politik perlu berperanan untuk menyampaikan maklumat kepada golongan muda berkenaan pembinaan negara bangsa serta perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman komunis.
“Kena ajar anak-anak muda ini apa makna politik, apa makna perjuangan, bersambunglah dengan lain-lain lagi termasuk pekerjaan, ekonomi dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette