Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan memeriksa barisan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Johor.

JOHOR BAHRU – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan merancang pelbagai strategi dan mekanisme bagi membantu operasi banjir di kawasan terjejas teruk susulan peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga Mei depan.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt. Jen. Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah.

“Kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi peralihan monsun ini. Sistem dan mekanismenya pun sudah ada. Untuk atur gerak di peringkat awal (tumpuan) di kawasan-kawasan yang terjejas dan seterusnya menghantar aset-aset ke tempat-tempat yang dijangka berisiko tinggi”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), dekat sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Latihan dan Doktrin, TDS, Brigedier Jeneral Andrew Lim Heng Tiew.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah memberitahu, Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula 14 Mac hingga pertengahan Mei depan.

Ia sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November lepas.

Mengulas mengenai Eksesais Semangat Bersatu, Muhammad Hafizuddeain berkata, latihan itu diadakan bagi mengeratkan hubungan kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, latihan yang bermula 18 hingga 25 Mac itu melibatkan penyertaan 295 pegawai dan anggota TDM dan 95 pegawai dan anggota TDS.

Latihan itu juga menguji fungsi pasukan terlibat dengan penglibatan pelbagai elemen tempur dalam menangani sebarang ancaman, ujarnya. – MalaysiaGazette