Amzah Osman (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada 45 kanak-kanak yang menenangi hadiah basikal

MELAKA – “Alhamdulillah, dapat juga basikal yang saya idamkan sejak lebih sebulan lalu dan lepas ni bolehlah lebih kerap datang ke masjid selepas menerima hadiah ini,” kata Muhammad Qairul Aziz Rosdi, 10.

Dia adalah antara 45 kanak-kanak yang menerima 45 buah basikal selepas lengkap 40 hari menghadiri solat subuh berjemaah pada Program Istiqamah Subuh 40 Hari anjuran Masjid Nur As-Sa’adah, Kampung Pengkalan Batu di sini yang berakhir hari ini sejak dimulakan 2 Februari lalu.

Muhammad Qairul Aziz Rosdi

Menurutnya, dia bersyukur kerana mampu menghabiskan tanggungjawab itu, walaupun demi memenangi sebuah basikal pada awalnya.

“Mula-mula sertai jemaah Subuh pada Februari lalu, saya tertarik untuk menang basikal, namun lama kelamaan timbul pula rasa minat dan tidak sabar pula untuk ke masjid setiap hari,” katanya.

Ahmad Aidil Ramadan Mohd Firdaus

Bagi Ahmad Aidil Ramadan Mohd Firdaus, 16, dia memang meletakkan sasaran untuk memenangi basikal bernilai RM500 sebuah itu untuk memudahkannya ke masjid setiap hari.

“Sebelum ini pun memang saya solat berjemaah di masjid, jadi bila adanya program sebegini ia seperti satu penghargaan buat saya dan hadiah ini akan saya gunakan sebaik-baiknya ke jalan kebaikan,” katanya.

Muhamad Tarmizi Faezal

Murid Tahun 3, Muhamad Tarmizi Faezal, 9, berkata, dia gembira kerana dapat datang ke masjid dengan berbasikal bersama kawan-kawan dan tidak perlu lagi berjalan kaki atau datang dengan keluarga selepas ini.

“Seronok sebab sebelum ini cuma dapat jumpa kawan-kawan dalam masjid, tapi lepas ni dapat main basikal bersama dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nur As- Sa’adah, Datuk Amzah Osman berkata, program anjuran masjid melalui Biro Pendidikan/Agama/Dakwah dan Ziarah Kasih itu mendapat 45 penyertaan sejak dimulakan 9 Februari lalu dalam usaha mencari pelapis muda dalam institusi masjid.

“Bagaimanapun hari ini, penyerahan fasa pertama dibuat kepada 22 kanak-kanak dan bakinya seramai 23 orang lagi akan diserahkan pada fasa kedua kerana ada yang masih belum lengkap program selama 40 hari atau menjalani kuarantin akibat kontak rapat Covid-19.

“Program ini juga tidak terhenti di sini yang mana selepas ini kita akan jadikan anak-anak ini sebagai sukarelawan masjid, menganjurkan bengkel kerohanian buat mereka dan memastikan usaha istiqamah subuh berjemaah selama 40 hari ini terus dijadikan amalan,” katanya.

Tambahnya, pihak masjid menyasarkan semua peserta program untuk terus menjadi pelapis institusi masjid seperti pegawai syarak dan pentadbir rumah Allah pada masa harapan.

“Malah, saya menerima maklumbalas yang amat baik yang mana ada antara kanak-kanak ini sudah mula mengajak ibu bapa mereka turut ke masjid bersama-sama mereka berjemaah.

“Saya melihat ini satu permulaan yang baik selain bu bapa yang mengajak anak ke masjid, tapi kini menjadi sebaliknya dan semoga mereka terus beristiqamah dalam amalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast